25 July 2013

DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN MAHU KERAJAAN HALANG PENYEBARAN SYIAH DI IPT

KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan mahu kerajaan bertindak tegas menghalang penyebaran ajaran Syiah, terutama di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.

Timbalan Ketuanya Mohamad Suhaimi Abdul Aziz, yang menyambut baik tindakan kerajaan mengharamkan Pertubuhan Syiah Malaysia, berkata ini adalah kerana ia boleh merosakkan akidah dan boleh mencetuskan perbalahan besar antara umat Islam di negara ini.

"Tindakan kerajaan mengharamkan Pertubuhan Syiah Malaysia berdasarkan kepada peruntukkan Syeksen 5, Akta Pertubuhan 1966 amat tepat pada masanya memandangkan pengaruhnya yang semakin berkembang dan menimbulkan kekeliruan umat Islam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Mohamad Suhaimi berkata pihaknya menganggap ajaran Syiah ini sebagai satu ajaran sesat yang lebih bahaya dari Al-Arqam, serta ajaran sesat yang lain kerana ia jelas memesongkan akidah umat Islam dari ajaran Islam sebenarnya.

"Apa yang dibimbangkan umat Islam yang terperangkap dengan doktrin dan ajaran songsang Syiah kebanyakannya adalah jahil agama, dan baru berjinak-jinak dengan agama Islam," katanya dan menambah, mereka hanya diberi kefahaman mengenai Islam pada suatu sudut yang sempit dan tidak menyeluruh, sehingga mengambil ringan soal ibadat dan amalan Islam.

Suhaimi berkata kesan penularan ajaran Syiah kepada umat Islam amat membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan berlakunya perkahwinan songsang (muta'ah), kefahaman Islam yang longgar sehingga meringankan ibadat dan rukun Islam dan sebagainya. - Bernama




SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/kerajaan-perlu-halang-penyebaran-syiah-di-ipt-1.186773
SYIAH : KDN SEDIA AMBIL TINDAKAN

KUALA LUMPUR 25 Julai - Kementerian Dalam Negeri sedang memantau dan sedia mengambil tindakan undang-undang ke atas beberapa pemimpin kanan sebuah parti politik kerana bertanggungjawab menyebarkan fahaman Syiah di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak berkuasa sudah mengetahui serta mempunyai maklumat lengkap pemimpin kanan parti tersebut yang terlibat dalam gerakan Syiah dan mengingatkan mereka supaya tidak berselindung (bertaqiyyah).

Dalam masa sama, beliau turut menggesa parti berkenaan mengambil tindakan ke atas pemimpin kanan mereka bagi mengelak keadaan menjadi lebih buruk sekiranya penganut Syiah tersebut terus dibiarkan berada dalam parti berkenaan.

"Kita tahu siapa pemimpin itu dan parti tersebut juga tahu siapa tokoh dimaksudkan. Kita mengetahui dan mempunyai maklumat yang lengkap dan dari segi perundangan, kita akan mengambil tindakan tetapi biarlah parti mereka menghukum dari segi politik.

"Saya berharap kalau pemimpin tersebut mahu menafikan (penglibatan) di dalam kempen-kempen parti mereka, silakan, tetapi mereka mestilah mengisytihar diri dan jangan berselindung di sebalik fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam majlis berbuka puasa bersama kakitangan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) di sini hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut menyaksikan penyerahan zakat perniagaan PNMB berjumlah RM569,036.

Ahmad Zahid mengulas kebimbangan orang ramai mengenai dakwaan penglibatan beberapa tokoh politik tertentu sebagai penganut dan pihak bertanggungjawab dalam menyebarkan fahaman Syiah sehingga memburukkan lagi keadaan.

Semalam Kementerian Dalam Negeri mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai haram berkuat kuasa serta-merta mengikut Seksyen 5 (1), Akta Pertubuhan 1966 kerana mencetuskan keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak khususnya pertubuhan-pertubuhan Islam membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa Islam jika mempunyai sebarang maklumat berhubung penyebaran fahaman Syiah.

Ditanya sama ada beliau sedia mendedahkan identiti pemimpin politik tersebut, Ahmad Zahid berkata, tanggungjawab berkenaan akan diserahkan kepada parti mereka dan majlis agama Islam negeri serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).




SUMBER: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130726/dn_04/KDN-sedia-ambil-tindakan#ixzz2a6E7JQLz


TIADA RUANG SEBAR AJARAN SYIAH DI MELAKA

MELAKA 25 Julai - Kerajaan negeri telah mengarahkan penyiaran sebuah iklan produk minuman yang mempunyai kaitan dengan fahaman Syiah di negeri ini diberhentikan serta-merta.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, keputusan itu diambil selaras dengan keputusan kerajaan mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang berkuat kuasa semalam.

Menurutnya, sebagai langkah menyokong usaha kerajaan itu, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah diarahkan untuk memantau apa juga bentuk ajaran dan aktiviti yang mirip fahaman Syiah di negeri ini.

''Tidak ada ruang buat fahaman Syiah boleh disebarkan di negeri ini berikutan pemantauan rapi MAIM dan kerajaan negeri juga telah mewartakan ajaran itu sebagai bercanggah dan menyalahi ajaran Islam sebenar pada 1990.

''Sehubungan itu semua agensi penguatkuasaan yang terlibat di peringkat cawangan, daerah dan negeri telah diarahkan untuk memantau sebarang aktiviti ajaran Syiah," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan yang dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Perisytiharan tersebut dibuat berpandukan pada peruntukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.

Mengulas lanjut, Idris berkata, mereka yang terlibat dengan fahaman Syiah seperti menyebarkan ajaran itu dan menganjurkan sebarang aktiviti, boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Enakmen Agama Islam negeri.

''Mereka bukan sahaja boleh ditangkap malah boleh dituduh dan dihukum jika sabit kesalahan," katanya.

Katanya, MAIM dan agensi berkaitan telah diarah untuk melipatgandakan lagi penerangan mengenai bahaya ajaran Syiah berbanding fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau menambah, kerajaan negeri akan bergandingan dengan Kerajaan Pusat dalam memastikan penyebaran ajaran Syiah tidak sewenang-wenang dibawa ke negeri ini.

24 July 2013

PULAU PINANG PULA AKAN WARTA FATWA ANTI-SYIAH
SEBERANG JAYA 23 Julai- Walaupun fahaman Syiah di Pulau Pinang dikesan tidak membimbangkan, kerajaan negeri akan mewartakan fatwa anti-Syiah dalam usaha mengekangnya.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man berkata, ini kerana fatwa itu telah dikuatkuasakan di peringkat Kebangsaan sejak 1996 lalu lagi dan perlu diikuti semua negeri.

Beliau berkata, fatwa anti-Syiah telah diwartakan oleh kerajaan negeri lama dahulu tetapi penyelarasan dan pelaksanaannya tidak menyeluruh berikutan fahaman itu tidak wujud di negeri ini.

"Kita menyerahkan tindakan lanjut berkaitan pelaksanaan fatwa anti-Syiah ini kepada Jabatan Mufti negeri kerana mereka lebih berkelayakan untuk menentukannya.

"Adalah lebih baik fatwa itu dilaksanakan serentak di seluruh negara kerana memudahkan tindakan diambil dalam membanteras fahaman itu secara bersepadu," katanya dalam majlis Penyampaian Bantuan Permulaan Ke Institusi Pengajian Tinggi dan Pembayaran Zakat Korporat di Perpustakaan negeri di Seberang Jaya di sini hari ini. 

SUMBER: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130723/dn_22/Pulau-Pinang-akan-warta-fatwa-anti-Syiah#ixzz2ZuUben49

Keterangan Gambar: YB Datuk Salleh Man adalah Yang Dipertua MAINPP, ADUN Permatang Pasir dan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang
SYIAH TIADA RUANG DI PERLIS

KANGAR 24 Julai - Kerajaan negeri menerusi agensi pihak berkuasa agamanya sentiasa menjalankan pemantauan rapi bagi memastikan tidak ada sebarang usaha daripada pihak tertentu mengembangkan ajaran atau fahaman Syiah di negeri ini.

Perkara itu berikutan fatwa yang diwartakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada 27 September tahun lalu bahawa ajaran dan fahaman Syiah bercanggah dan menyalahi ajaran Islam sebenar.

Mufti Perlis, Datuk Mursyid Diraja Dr. Juanda Jaya memberitahu, pemantauan tersebut penting kerana pengikut ajaran atau fahaman Syiah tidak boleh diberikan ruang menjalankan usaha-usaha mempengaruhi umat Islam di Perlis.

"Walaupun kedudukan Syiah di Perlis tidak membimbangkan dengan maklumat diterima jumlah ahlinya tidak melebihi lima orang, pemantauan ke atas usaha untuk mengembangkannya sentiasa dibuat untuk memastikan pengaruhnya tidak meluas.

"Ini kerana pihak berkuasa pernah merampas buku-buku berkaitan Syiah dari negara jiran di pintu sempadan," kata beliau dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Sehubungan itu, kata Juanda, umat Islam di negeri ini perlu berwaspada dengan percubaan golongan tersebut untuk mempengaruhi mereka menerusi pelbagai cara termasuk penyebaran risalah, buku dan ceramah.

"Pihak berkuasa juga memantau penceramah yang dijemput memberikan ceramah di masjid-masjid di seluruh negeri bagi mengelak pengaruh Syiah berleluasa.

"Begitu juga dengan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dari luar negara yang menyambung pengajian di negeri ini bagi mengelakkan penularan pengaruh Syiah," tambahnya.

Walau bagaimanapun, kata Juanda, hasil maklumat pihak berkuasa, tidak ada penuntut luar negara di negeri ini yang menjalankan aktiviti menyebarkan fahaman Syiah.

SUMBER: http://utusan.com.my/utusan/Utara/20130725/wu_02/Syiah-tiada-ruang-di-Perlis#ixzz2a0JqETyd

29 June 2013

Jawatankuasa Fatwa Perlis haramkan shisha



KANGAR 28 Jun - Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok.
Mufti Perlis Datuk Mursyid Diraja Dr Juanda Jaya berkata mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-11/2013 pada 24 Jun lepas membuat keputusan itu dan surat akan dihantar kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berhubung perkara itu.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berharap MPK dapat menghalang kegiatan penjualan shisha demi kepentingan masyarakat.
Dr Juanda berkata amalan menghisap shisha bukan sahaja membuang masa tapi memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan belia dan remaja.
Menurutnya, langkah pengharaman itu dilaksanakan kerajaan negeri Melaka sejak 2009 dan Perlis juga menuruti jejak negeri itu kerana kegiatan itu didapati membawa kemudaratan yang besar.
Dr Juanda turut menyelar pihak yang memperdagangkan amalan tahlil arwah dan khatam al-Quran untuk mengaut keuntungan peribadi terutama menjelang Ramadan.
Menurutnya, ada pihak yang cuba mengutip wang kononnya untuk dana tertentu dengan menganjurkan majlis tahlil dan khatam al-Quran dengan memohon sumbangan daripada orang ramai.
Sambil menunjukkan contoh borang penyertaan program tahlil arwah dan khatam al-Quran anjuran sebuah badan tertentu, beliau berharap orang ramai tidak akan terpengaruh.
"Tidak salah bertahlil, berzikir dan khatam al-Quran tetapi bukan meletakkan syarat dengan mengenakan bayaran," katanya.
Beliau berharap pihak berkuasa menyiasat penganjur program seumpama itu dan meneliti ke mana wang yang dikumpulkan itu dibawa.

 - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130628/dn_26/Jawatankuasa-Fatwa-Perlis-haramkan-shisha#ixzz2Xcu1bVUu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

11 June 2013

Janji Rasulullah kepada mereka yang memberi makan orang yang berpuasa: 

"SESIAPA MEMBERI MAKAN ORANG YANG BERPUASA, MAKA BAGINYA PAHALA SEPERTI ORANG YANG BERPUASA TERSEBUT, TANPA MENGURANGKAN PAHALA ORANG YANG BERPUASA ITU WALAU PUN SEDIKIT"
( Riwayat Tirmidhi dan Ibnu Majah serta disahihkan oleh al-Albani )